Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 30 Nov untuk pengurusan kes saman difailkan seorang pendakwah bebas warga Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips terhadap penceramah bebas, Zamihan Mat Zin atas dakwaan memuat naik posting bergambar yang memfitnahnya di dalam Facebook, November tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Meor Amir Meor Omar Baki mewakili Abu Ameenah.

Pada 29 Sept lepas, Abu Ameenah menyaman Zamihan, 41, selaku defendan atas dakwaan memuat naik gambarnya berserta kapsyen dalam akaun Facebook Ustaz Zamihan Al-Ghari pada 26 Nov 2016, yang mendakwa beliau seorang penyokong pengganas.

Abu Ameenah selaku plaintif mendakwa posting memfitnah itu turut mengandungi poster Kuliah Maghrib Khas yang disampaikan olehnya di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar, Perlis pada 1 Dis 2016.

Dakwanya, kandungan posting itu merujuk kepada dirinya berdasarkan gambarnya yang dimuat naik selain kenyataan "International Terrorism Supporter, dibenarkan berceramah di Perlis" yang merujuk poster Kuliah Maghrib Khas yang disampaikan olehnya.

Abu Ameenah mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau terlibat dengan keganasan dan menyampaikan ceramah bagi mempromosi keganasan kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Beliau turut mendakwa selain dapat diakses oleh pengguna-pengguna lain, posting memfitnah itu juga telah dikongsi oleh 119 pengguna Facebook yang lain.

Oleh itu, plaintif menuntut perintah mahkamah supaya defendan membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya melalui akhbar utama pilihannya dan melalui Facebook Ustaz Zamihan Al-Ghari selain menarik balik posting berkenaan.

Turut dituntut perintah injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula posting itu selain menuntut ganti rugi am lebih RM1 juta, ganti rugi teladan, teruk, faedah serta kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pembelaan difailkan pada 19 Okt lepas, Zamihan berkata beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai posting bergambar itu yang telah tersebar di internet.

Defendan turut menegaskan bahawa pernyataan dalam posting bergambar itu bukan merupakan fitnah terhadap plaintif kerana apa yang dinyatakan adalah fakta yang benar.

Dakwanya lagi terdapat alasan munasabah untuk mengesyaki atau mempercayai bahawa plaintif terlibat dalam menyokong keganasan yang terdapat sumber termasuk akhbar National Post dan maklumat pihak polis yang menyatakan demikian.

-- BERNAMA