Beberapa Ahli Parlimen hari ini menggesa supaya pengurusan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad bertanggungjawab terhadap semua kakitangan yang diberhentikan termasuk yang telah mengambil skim Pemberhentian Kerja Secara Sukarela (VSS).

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, yang menjadi antara pemimpin paling lantang dalam isu ini menggesa, Pengerusi Eksekutif Utusan, Datuk Aziz Sheikh Fadzir dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah tidak mengkhianati kakitangan mereka.

“Saya nak tegaskan, saya tidak mahu lihat sesiapa pun yang mengkhianati mana-mana perjanjian bersama. Saya sarankan untuk NUJ (Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia Cawangan Utusan Melayu (M) Bhd) untuk ambil tindakan atas ketidakpatuhan perjanjian bersama.

“Pastikan, sahabat saya Aziz perlu dihadapkan ke mahkamah kerana perkara ini di bawah kawal selia beliau setakat ini.

“Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary harus bertanggungjawab sebab dia mengambil alih syarikat ini dan dia perlu memastikan perjanjian bersama tidak akan terbantut atau terhalang untuk dilaksanakan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau serta beberapa Ahli Parlimen lain termasuk Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) dan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) mengadakan pertemuan bersama NUJ-UM di Parlimen.


Dalam pada itu, Fahmi ketika mengulas perkara tersebut berkata, pihak pengurusan sepatutnya memberi penjelasan terperinci kepada kakitangan yang diberhentikan termasuk isu kelewatan bayaran penuh kepada mereka yang mengambil VSS.

“Saya sendri berasa bahawa pemilik perlu ke hadapan dan beri penejelasan terutama dalam bentuk bertulis kepada para pekerja. Mereka perlu bertanggungjawab dalam perkara ini.

“Saya juga ingin bangkitkan isu lebih 800 staff bekas kakitangan Utusan yang mengambil VSS. Kami difahamkan (mereka) masih tak terima pampasan keseluruhan dan ini juga satu perkara yang amat merunsingkan.

“Kita tidak mahu proses Penggulungan Sukarela Pemiutang menjadi satu penghalang untuk melunaskan pembayar kepada mereka yang telah menyertai program VSS ini,” ujarnya.

Mengikut rekod NUJ-UM, lebih 800 kakitangan Utusan dan 800 bekas kakitangan yang mengambil skim VSS, kesemuanya mewakili sekitar 8,000 ahli keluarga terjejas proses Penggulungan Sukarela Pemiutang.

BACA: Utusan tutup operasi hari ini