Kesatuan Sekerja Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (KSKSTMB) dan Kesatuan Eksekutif Sistem Televisyen Malaysia Berhad (KESTMB) perlu duduk semeja dan berunding dengan pengurusan Media Prima Berhad susulan arahan pemberhentian kakitangan syarikat penyiaran swasta berkenaan.

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata keputusan bersama daripada kedua-dua belah pihak amat perlu dalam menyelesaikan isu ini.

“Kita perlu tengok cara bagaimana mereka menyelesaikan perkara tersebut. Antaranya, mengambil semula pekerja terbabit kembali bekerja atau perbincangan dari segi pampasan.

“Jika tidak, perkara itu akan dirujuk kepada menteri untuk membuat keputusan sama ada perkara itu akan dirujuk kepada mahkamah atau sebagainya,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini hari ini.

Justeru, Kulasegaran enggan membuat sebarang kenyataan atau andaian yang boleh mengeruhkan lagi situasi ketika ini.

Katanya beberapa inisitif daripada Kementerian Sumber Manusia telah wujud ketika ini dalam membantu mereka yang dibuang kerja termasuk Sistem Insurans Pekerja (SIP).

Beliau sebelum itu menerima memorandum daripada Presiden KSKSTMB, Khairuzzaman Mohamad serta beberapa ahli kesatuan tersebut di lobi Parlimen.

KSKSTMB dan KESTMB dalam kenyataan semalam menyelar tindakan pengurusan Media Prima Berhad atas arahan pemberhentian 190 pekerja teknikal Jabatan Kejuruteraan dan Prop serta pelaksanaan Skim Pemisahan Bersama (MSS) secara paksa melibatkan 43 orang daripada Jabatan Berita dan Perkhidmatan Pengurusan.

Kenyataan itu menyifatkan tindakan itu melanggar Perjanjian Bersama kedua-dua kesatuan kerana tiada perbincangan diadakan.

Malah, ia dilihat melanggar Kod Kelakuan bagi Keharmonian Perusahaan 1975 apabila majikan gagal berunding dengan pihak pengurusan termasuk melaksankan langkah-langkah awal seperti pemotongan gaji, mengurangkan waktu kerja dan mengawal kerja lebih masa.

BANTAH LANGKAH PEMBUANGAN PEKERJA

Kesatuan Sekerja Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) (KSKSTMB) dan Kesatuan Eksekutif TV3 (KESTMB) harı ini membantah langkah pembuangan pekerja yang dilakukan syarikat penyiaran tersebut.

Media Prima

Presiden KSKSTMB, Khairuzzaman Mohammad berkata, perkara itu telah melanggar perjanjian selain ia turut tidak dibincangkan terlebih dahulu bersama-sama kesatuan tersebut.

Khairuzzaman dalam suatu kenyataan hari ini berkata pihak kesatuan sekerja turut menggesa kerajaan campur tangan membatalkan tindakan pihak majikan tersebut.

"Kesatuan Sekerja Kakitangan TV3 dan Kesatuan Eksekutif TV3 membantah perlaksanaan pemberhentian 190 pekerja teknikal Jabatan Eng dan Props serta proses MSS secara paksa seramai 43 orang daripada Jabatan Berita dan Perkhidmatan Pengurusan," katanya.

Beliau berkata, ia melanggar Perjanjian Bersama kedua-dua Union kerana tiada perbincangan diadakan.

"Juga melanggar kod amalan Code of Conduct for Industrial Harmony 1975 dengan gagal berunding dengan pihak union dan melaksanakan langkah-langkah awal seperti pemotongan gaji, mengurangkan waktu kerja dan mengawal kerja lebih masa," katanya.

Kesatuan juga katanya, menggesa campur tangan Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan untuk membatalkan tindakan pengurusan Media Prima ini dalam melaksanakan pemberhentian kerja yang tidak mengikut lunas undang-undang.