Perjalanan pulang 28 pemain dan pegawai pasukan bola sepak divisyen empat Liga Rakyat, Miri FA menempuh detik cemas selepas bas dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 40 Jalan Papar-Kimanis, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9 pagi, beberapa mangsa termasuk 12 pemain pasukan bola sepak bawah 28 tahun itu mengalami kecederaan ringan namun sudah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Papar.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman ketika ditemui di Hospital Papar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 9.30 pagi tadi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.

Antara mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu. - Foto Astro AWANI/Ruzaini Zulkepli

"Kita terima satu panggilan daripada orang awam mengatakan satu kemalangan melibatkan sebuah bas ekpress terbabas di tengah-tengah jalan yang telah menghalang semua laluan daripada Keningau ke Kota Kinabalu.

"Hasil pemeriksaan mendapati 28 orang penumpang di dalam bas tersebut dan kesemua mereka dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA)," katanya.

Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan ringan dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Papar. - Foto Astro AWANI/Ruzaini Zulkepli

Sementara itu, Ladamah berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kecuaian sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang individu belum dikenal pasti yang dikatakan tiba-tiba memotong secara melulu sehingga menyebabkan bas ekpress terlibat menekan brek secara mengejut.

Katanya, susulan itu pemandu bas ekpress terbabit yang berusia 37 tahun gagal mengawal kenderaannya dengan baik dan terbabas lalu terbalik di tengah jalan.

"Untuk itu, kes ini kita akan siasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan terhadap pemandu mendapati dia memiliki empat saman lampau," katanya.

Bas yang dinaiki mereka terbabas lalu terbalik di tengah jalan. - Foto Astro AWANI/Ruzaini Zulkepli

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Miri FA, Nazri Ahmad Lai yang turut berada dalam bas berkenaan berkata, pihaknya berada di Keningau bagi menghadapi aksi Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2017-2018 di Kompleks Sukan Keningau petang kelmarin.

Menurutnya, ketika insiden, bas berkenaan dipercayai terbabas ketika menuruni bukit dan cuba mengelakkan melanggar sebuah kereta di hadapan.

"Apa yang saya nampak, saya lihat dan semua kita perasan juga, itu bas kita itu macam brek kecemasan sebab sebelum itu ada treler potong kita, lepas itu dia masuk di antara treler dan bas yang mana selepas itu dia tekan brek dan bas kita juga tekan brek juga," katanya.