KUALA LUMPUR:Pengurusan pasangan selebriti Shuib Sepahtu dan Siti Sarah Raissuddin, mengesahkan kedua-dua mereka dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke ibu pejabat agensi itu di Putrajaya, hari ini.

Jurucakapnya, Nana Mohamad Rom, dalam satu kenyataan ringkas kepada Astro AWANI malam ini, bagaimanapun berkata, hanya keterangan Shuib diambil, manakala Sarah hanya menemani suaminya.

"Buat masa ini pihak kami tidak dapat mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkenaan perkara tersebut untuk tidak mengganggu siasatan pihak SPRM bagi menghormati sistem perundangan negara kita.

"Namun apa yang kami dapat pastikan adalah kerjasama sepenuhnya telah diberikan kepada pihak SPRM untuk membantu siasatan.

BACA: Pasangan selebriti dipanggil SPRM bantu siasatan  

"Setakat ini, ini sahaja penjelasan yang dapat kami berikan berkenaan isu ini kerana pihak kami turut masih menunggu perkembangan selanjutnya dari pihak SPRM," katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan sepasang suami isteri yang juga selebriti dipercayai telah dipanggil oleh SPRM pada Khamis, dipercayai untuk membantu siasatan kes pengubahan wang haram.

Mereka dilaporkan hadir ke ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada tengah hari Khamis untuk diambil keterangan membabitkan perniagaan yang diusahakan mereka.