Pengusaha batik, songket dan tenunan di negara ini disarankan untuk memiliki sijil standard pembuatan bagi memastikan produk kraf mereka memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, sebagai permulaan, kementerian menyasarkan antara 200 ke 300 pengusaha untuk memohon sijil berkenaan.

Setakat ini, terdapat sekitar 200 pengusaha yang sudah pun memiliki sijil standard dalam kalangan pengusaha batik, tenunan dan songket.

“Kita mahu tahap piawaian produk kraf berada pada tahap terbaik untuk memudahkan ia dipasarkan.

“Jika boleh, kita mahu semua pengusaha memiliki sijil itu. Kita akan bantu mereka untuk mempunyai proses dan dokumentasi yang lebih baik,” katanya.

Muhammah Bakhtiar berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Batik Fest di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) pada Jumaat.

Batik Fest yang dirasmikan pada Jumaat akan berlangsung selama tiga hari bermula jam 10 pagi hingga 7 malam dengan pelbagai pengisian program menarik.

Antaranya gerai jualan produk kraf dan makanan tradisional, bengkel mencanting batik, batik zumba dan sukan rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan untuk mengangkat Batik Fest sebagai acara tahunan kementerian.

“Fokus kementerian pada tahun ini juga untuk mengukuhkan sektor pelancongan kebudayaan. Kita mahu menggalakkan kedatangan pelancongan ke Malaysia untuk melihat budaya dan produk kraf.

“Sebahagian besar pelancong yang datang ke ke sini lebih berminat memilih produk kraf yang unik berbanding jenama-jenama mewah,” katanya.

Kementerian pada tahun ini menyasarkan jumlah pelancong ke Malaysia seramai 28.1 juta dengan menjana pendapatan sekitar RM92.2 bilion.