Pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk peniaga di bazar Ramadan disaran untuk meneroka peluang dengan membina perniagaan digital menerusi platform e-bazar.

Penasihat dan ahli Majlis Kehormat Persatuan PKS Malaysia, Datuk Jalilah Baba berkata, pengusaha perlu belajar dan menyediakan diri untuk menguruskan platform baharu berkenaan.

"Pengusaha PKS perlu berfikir secara serius bagaimana untuk menguruskan (perniagaan melalui platform baharu) kerana kali ini kemungkinan besar tidak akan ada bazar secara fizikal.

"Platform e-bazar ini juga akan memberi peluang kepada pengusaha PKS untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih efisien.

"Jadi, adalah penting supaya pengusaha PKS belajar memasarkan produk mereka menerusi platform digital yang disediakan," katanya yang juga Pengerusi Kumpulan PKT Logistics Group kepada Astro AWANI.

Baru-baru ini, beberapa negeri termasuk Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Pulau Pinang mengumumkan tiada penganjuran bazar Ramadan pada tahun ini berikutan usaha mengekang penularan COVID-19.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Mohamed Zamri Mohammed, dilaporkan berkata sebuah laman web e -bazar akan dibangunkan bagi urusan jual beli pada bulan Ramadan.

Mohamed Zamri memberitahu, secara keseluruhan lebih 100,000 peniaga bazar di seluruh negara terjejas berikutan wabak COVID-19 kerana tidak dapat menjalankan perniagaan dengan kehilangan pendapatan dijangka mencecah RM50 juta.