Peniaga diingat tidak naikkan harga tong air

Peniaga diingat tidak naikkan harga tong air
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Azeem Nazuri (kanan) memeriksa saiz dan harga tong air ketika operasi mengejut di sebuah kilang tong plastik di Kepong. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan peniaga supaya tidak mengeksploitasi harga tong air dengan mengaut keuntungan berlebihan, ketika berlaku gangguan bekalan air membabitkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya tidak akan berkompromi berhubung perkara itu, walaupun tong air tersebut tidak tertakluk dalam senarai barangan harga terkawal.

"Kita akan ambil tindakan undang-undang ke atas peniaga yang menaikkan harga tong air secara melampau walaupun tong air tidak termasuk dalam barang kawalan.

"Dan sekiranya kita mengesan ada peniaga yang menaikkan harga barang ini, penguatkuasa kita akan turun dan melakukan pemeriksaan ke atas premis perniagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Bizfair peringkat Selangor dan Kuala Lumpur di sini, pada Selasa.

Turut hadir, Pengerusi SSM yang juga merangkap Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution turut menyeru orang ramai supaya tampil memberikan maklumat kepada kementerian itu sekiranya terdapat peniaga yang didapati menaikkan harga tong air tersebut.

"Bermula Isnin, penguatkuasa KPDNHEP Selangor telah memeriksa 73 premis menjual tong air di sekitar negeri ini, dan setakat ini tidak berlaku kenaikan harga. Pasukan penguatkuasa Selangor akan meneruskan operasi pemantauan harga tong air sehingga gangguan bekalan air selesai," katanya.

Bermula Rabu sehingga 27 April, berlaku gangguan bekalan air disebabkan kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), melibatkan enam wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata pihaknya bersedia menambah peruntukan untuk diagihkan kepada usahawan di bawah program SSM Bizgrant.

"Sejak program ini diperkenalkan pada 2018, SSM telah menyediakan RM10 juta dalam bentuk geran untuk diagihkan kepada 3,000 usahawan terpilih seluruh negara, bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka.

"Saya mahu SSM menjejaki usahawan yang telah diberi bantuan ini untuk melihat perkembangan perniagaan mereka, dan sekiranya usahawan ini berjaya kita bersedia menambah peruntukan itu untuk membantu usahawan lain," katanya.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan, Azeem Nazuri berkata para peniaga dikehendaki meletakkan tanda harga pada tong air yang dijual agar tidak mengelirukan pengguna.

"Setakat ini tiada notis dikeluarkan kerana rata-rata peniaga mematuhi peraturan dengan meletakkan tanda harga dan tidak menaikkan harga tong air," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi pemeriksaan di sebuah kilang tong plastik di sini pada Selasa.

Azeem berkata pihaknya akan menjalankan operasi pemeriksaan setiap hari sehingga 28 April ini bagi mengelak penindasan harga daripada berlaku.

"Sasaran kami adalah di sekitar kawasan yang mengalami gangguan bekalan air dan kedai di kawasan perumahan atau pangsapuri dengan kepadatan penduduk yang tinggi," katanya.

-- BERNAMA




Tag: KPDNHEP, operasi, undang-undang, peniaga, tong air, eksploitasi, harga, mengaut keuntungan, Saifuddin Nasution Ismail, barangan harga terkawal, barang kawalan, naik harga, LRA, Loji Rawatan Air Sungai Selangor, usahawan, SSM Bizgrant, tanda harga


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.