Hasrat seorang peniaga untuk mendapat lesen perniagaan tidak kesampaian malah kerugian RM36,700 selepas diperdaya seorang 'runner' yang kononnya boleh menguruskannya dengan pihak berkuasa.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa lelaki berusia 26 tahun itu mengenali suspek pada 2 Februari lalu melalui seorang rakannya.

"Mangsa berurusan dengan suspek adalah untuk mendapatkan kelulusan perancang, kelulusan pembangunan untuk mendirikan kedai makannya di Jalan Teluk Sisek di sini.

"Seterusnya suspek juga akan menguruskan untuk mendapatkan lesen perniagaan kedai makannya itu," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, untuk urusan ini mangsa membuat bayaran kepada suspek melalui lima transaksi berjumlah RM36,700.

"Wang itu kononnya untuk pelbagai tujuan antaranya untuk perancang dan pembangunan, bayaran deposit dan bayaran arkitek," katanya.

Menurutnya, namun selepas membuat segala bayaran, mangsa masih belum menerima lesen perniagaannya malah lesen untuk kedai makannya masih belum diluluskan.

"Peniaga itu juga cuba menghubungi suspek tetapi tidak dapat. Mangsa mula berasa rasa curiga dan melakukan siasatan sendiri. Dia mendapati suspek tidak menjalankan tugas dan menyebabkan pengadu kerugian sebanyak RM36,700," katanya.

Katanya, susulan daripada itu, mangsa datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam untuk membuat laporan polis selepas ditipu oleh suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan," katanya.