Sepasang suami isteri mengambil inisiatif menjual nasi bajet bagi membantu golongan pelajar menikmati hidangan lazat pada harga murah.

Terkenal dengan jolokan Kedai Makcik Seringgit, Noor Haliza Mohd Hashim, 44, dan suaminya, Mohamad Rozi Ishak, 48, telah beroperasi sejak enam tahun lalu di Jalan Pondok Labu di sini.

"Tarikan utama adalah harganya iaitu nasi set bajet berharga serendah RM2 dan air hanya RM1 dan saya jual ni sebab kesian kepada pelajar yang tak ada bajet besar untuk makan," katanya kepada Bernama.

Katanya, bagi set nasi bajet, pelanggan boleh memilih beberapa jenis lauk seperti ikan sardin, telur goreng atau rebus, sosej atau kepingan daging dan sayuran.

"Pelanggan boleh pilih satu daripada lauk ini dan sayuran yang disukai dengan harga RM2.

"Air pula, semua jenis air yang dibancuh termasuk milo ais, teh ais, horlicks ais dan ia hanya RM1 kecuali minuman yang telah dipaket," katanya.

Noor Haliza menambah, kedainya mula beroperasi pada 7 pagi sehingga 7 malam.

"Waktu kemuncak adalah tengah hari dan ketika ini golongan pelajar paling ramai dan memang mereka akan pesan nasi bajet untuk makan tengah hari," katanya.

Selain itu, ramai pengunjung yang singgah ke kedainya untuk membeli air bungkus.

Katanya, kadang-kadang pelanggan memesan sehingga 20 bungkus air dan ada antaranya yang datang semata-mata mahu membeli air RM1.

Noor Haliza berkata harga tersebut langsung tidak merugikan perniagaannya malah menjadi tarikan ramai orang sehingga sentiasa dikunjungi setiap masa.

"Tak rugi sebab kalau rugi dah lama saya tak buat. Sudah lama saya berniaga dan lagi ramai orang datang adalah.

"Bab makan ni, saya tak nak berkira sangat. Janji harga berpatutan dan ramai orang boleh makan sampai kenyang," katanya.

Sementara itu, pelajar kolej vokasional, Aiman Syafiq Iza Syarrizan,18, berkata nasi ekonomi yang dijual di kedai tersebut lebih murah dari kantin kolejnya.

"Memang selalu saya dan kawan makan di sini terutama waktu tengah hari. Makanan di sini sedap dan harga lebih murah," katanya.

-- BERNAMA