Peniaga jumpa bayi dalam semak

Peniaga jumpa bayi dalam semak
Tiada kecederaan serius pada bayi itu, hanya bintik merah pada jarinya, berkemungkinan digigit serangga. -
ROMPIN: Seorang bayi lelaki yang masih hidup dan bertali pusat ditemui di dalam beg plastik di kawasan semak berhampiran kuarters Pejabat Hutan Muadzam Shah, di sini, malam tadi.

Bayi lelaki berkenaan ditemui oleh seorang peniaga, Mohd Safarin Mohd Shahir, yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya kira-kira jam 10.15 malam. 

Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, peniaga itu dimaklumkan oleh seorang lelaki warga Pakistan mengenai bayi itu, yang ditemuinya ketika melalui kawasan berkenaan.      

"Sebaik menghampiri beg plastik berkenaan, peniaga terbabit melihat bayi lelaki tanpa pakaian masih bergerak namun tidak menangis.
"Dia kemudiannya mengangkat bayi berkenaan dan mendapati terdapat uri dalam plastik itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azli berkata, peniaga itu menghubungi Hospital Muadzam Shah (HMS) bagi memaklumkan perkara itu dan pegawai perubatan tiba di lokasi penemuan itu untuk memeriksa keadaan bayi terbabit.

Katanya, bayi cukup sifat itu dipercayai dilahirkan kurang dari tempoh 24 jam sebelum ditemui.

"Tiada kecederaan serius pada bayi itu, hanya bintik merah pada jarinya, berkemungkinan digigit serangga.

"Hasil pemeriksaan doktor juga mendapati bayi itu dilahirkan cukup bulan dan berada dalam keadaan sihat," katanya.

Beliau berkata, bayi itu kini ditempatkan di HMS untuk pemantauan dan pihaknya sudah memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung perkara itu.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi dan meminta saksi kejadian menghubungi balai polis berhampiran.