Seorang peniaga kerugian lebih RM800,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa terlibat dengan kes penjualan dadah dan pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan Supt Aibee Ab Ghani berkata lelaki berusia 61 tahun itu menerima panggilan telefon mendakwa daripada 'Pos Laju' sebelum disambungkan kepada seorang lelaki mendakwa pegawai polis di 'Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah' pada 4 April lepas.

"Panggilan telefon yang diterima mangsa daripada pihak 'Pos Laju' mengatakan ada orang menghantar kad pengenalan dan kad kredit mangsa dari Sabah sedangkan mangsa tidak pernah memberi kad tersebut kepada sesiapa.

"Mangsa kemudiannya telah disambungkan ke 'IPK Sabah' dan telah bercakap dengan 'Sarjan Yeow Khee Ming' yang mengatakan mangsa mempunyai satu kesalahan penjualan dadah dan pengubahan wang haram serta boleh dikenakan penjara seumur hidup," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Aibee berkata mangsa seterusnya diminta membuka satu akaun Bank Rakyat atas nama sendiri dan memasukkan kesemua wang mangsa daripada akaun lain ke akaun Bank Rakyat itu untuk memastikan wang tersebut bebas daripada sebarang hasil jenayah.

"Selepas membuka akaun Bank Rakyat, pengadu telah berikan gambar kad bank dan nombor akaun kepada individu dikenali sebagai 'Inspektor Ku'.

"Dari 8 hingga 29 April mangsa telah memindahkan wangnya ke dalam akaun Bank Rakyat tersebut melibatkan tujuh transaksi dengan jumlah keseluruhan RM802,800. Selepas melakukan kesemua transaksi itu, mangsa gagal menghubungi suspek dan mendapati kesemuanya wangnya dalam Bank Rakyat itu juga tiada," katanya.

Aibee berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA