Polis menahan dua lelaki berusia 28 dan 34 tahun yang bertindak melarikan lori milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kejadian di Jalan Bagan Jermal, George Town, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata kedua-dua peniaga tersebut ditahan sejurus selepas kejadian selepas didakwa cuba melakukan kekerasan dan menakutkan penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.

Katanya, kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu ketika sepasukan penguatkuasa MBPP sedang menjalankan operasi dan mengambil tindakan ke atas peniaga yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Mior berkata, kedua-dua lelaki itu kini direman selama tiga hari sehingga 7 Mei ini bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, dua peniaga terbabit bertindak melarikan kenderaan milik MBPP itu selepas dikatakan tidak berpuas hati apabila pasukan penguatkuasa dikatakan ingin merampas peralatan di kedai mereka tanpa sebarang notis amaran.

Mereka didakwa melarikan kenderaan terbabit terus ke Balai Polis Pulau Tikus sebelum membuat laporan polis di balai berkenaan.

Mior berkata, dalam kejadian itu juga, seorang pegawai penguatkuasa MBPP turut membuat laporan polis di balai polis sama kira-kira jam 9.45 malam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu melakukan kekerasan menakutkan penjawat awam menjalankan tugas yang memeruntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.