Seorang peniaga pasar malam nyaris rentung selepas van yang dipandu hangus dijilat api dalam kejadian di Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin berhampiran persimpangan Batu Gajah pagi tadi.

Kejadian yang berlaku sekitar 8.50 pagi tadi itu menyebabkan sebuah van jenis Nissan Vanette terbakar sepenuhnya, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Menceritakan detik cemas itu, mangsa Azlan Abd Talib, 40, yang dalam perjalanan dari rumahnya di Batu Gajah ke Sungai Rambai untuk mengambil stok barang perniagaannya dikejutkan dengan asap yang secara tiba-tiba menebal di bahagian enjin.

Dia kemudian memberhentikan kenderaan dipandu di lampu isyarat dan terus bergegas keluar sebelum berlaku letupan besar pada vannya selepas hanya 10 saat dia keluar dari kenderaan itu.

"Semasa tiba di lampu isyarat, saya nampak asap keluar dari kenderaan.

"Saya keluarkan dari kenderaan dan segera maklumkan kepada bomba," kata Azlan.

Dalam pada itu, ujar Azlan, meskipun sedih apabila van digunakan lebih 15 tahun untuk menjalankan perniagaan buah-buahan di pasar-pasar malam itu hangus di depan mata, namun tetap bersyukur kerana dia belum sempat mengambil stok perniagaannya.