Seorang peniaga mendakwa kerugian lebih RM12,000 selepas barangan kemas serta wang tunai dilarikan dua lelaki yang tidak dikenali.

Kejadian berlaku di kedai makan miliknya di Taman Anjara, Dungun pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang, mangsa Siti Mariam Lah mendakwa telah didatangi dua individu untuk menempah makanan.

Katanya, selepas selesai menunaikan solat, mangsa mengesan salah seorang suspek tiada di meja makan, dan kemudiannya mendapati suspek telah keluar daripada belakang kedainya.

Ekoran kejadian itu, warga emas yang berusia 63 tahun itu menyedari barangan kemas, telefon bimbit serta duitnya telah lesap.

“(Apabila) sudah sedar (daripada kejadian tersebut), ia sudah terlambat. (Saya sedar) dalam masa sejam selepas suspek pergi. Saya cuba menghubungi telefon bimbit saya, tetapi gagal kerana SIM kad sudah dibuang.

“Selepas itu, saya menunaikan solat Asar dan kemudian mendapati satu beg guni yang digunakan untuk menyimpan barang kemas telah terbuka. Saya segera memeriksa beg tersebut, dan mendapati barang kemas saya sudah hilang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, gerakan memburu kedua-dua suspek giat dijalankan.