"Ini tempat saya cari rezeki sejak 10 tahun. Apabila bumbung musnah, saya tidak tahu apa hendak buat dan macam mana perniagaan kedai makan saya."

Itu keluhan seorang peniaga, Aishah Che Pa, 40, yang runsing mengenang nasib yang menimpa dirinya dan beberapa peniaga lain selepas bumbung Medan Selera Sungai Lerek, di sini musnah akibat hujan lebat serta angin kencang kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Selain bumbung, beberapa kanopi yang menempatkan tempat duduk pelanggan juga musnah diterbangkan angin kencing.

Menceritakan lebih lanjut, Aishah berkata, ketika kejadian dia baharu sahaja selesai memasak lauk untuk juadah jualan makan tengah hari.

Katanya, dalam masa sama, dia turut melayan lima pelanggan yang sedang makan tengah hari sebelum panik apabila angin kencang dan hujan lebat meruntuhkan bumbung hadapan kedainya.

"Pada waktu itu, saya dan pelanggan panik dengan situasi itu. Alhamdulillah tiada kecederaan dan saya serta pelanggan selamat," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Ahad.

Bagi Rosli Muda, 49, dia berasa terkejut apabila secara tiba-tiba angin kencang hingga menerbangkan beberapa kanopi kedai makannya.

"Ketika kejadian saya sedang bersiap untuk memulakan perniagaan dan terpaksa membatalkan hasrat itu kerana semua barangan rosak," katanya.