Penjaja-penjaja di sekitar Wisma Yakin akan dipindahkan ke Lanai Seni, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), menjelang 2020.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata kerajaan bakal membangunkan sebuah bangunan tiga tingkat yang mampu menempatkan lebih 180 penjaja.

"Kita tidak boleh mengekalkan keadaan penjaja-penjaja di depan Wisma Yakin dalam keadaan seperti yang adanya hari ini.

"Ini kerana, jika dilihat kepada kedudukan penjaja ini, mereka menutup jalan masuk ke Wisma Yakin dan juga bangunan-bangunan berhampiran seterusnya menimbulkan masalah bagi mereka yang telah membuka kedai di situ," katanya pada pemberita selepas melawat tapak projek River of Life (RoL), di sekitar ibu kota, pada Isnin.

Pada lawatan itu, beliau meluangkan masa hampir lima jam untuk meninjau status pelaksanaan RoL yang turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Datuk Seri Adnan Md Ikshan dan Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mohd Najib Mohd.

Menurut Khalid, bangunan itu akan dibina pada awal tahun hadapan dan siap menjelang tahun 2020.

"Antara kemudahan yang disediakan adalah seperti medan selera, eskalator dan laluan bersambung di antara bangunan," katanya sambil menambah hanya penjaja yang sah dan berlesen akan ditempatkan di Lanai Seni.

Mengenai projek RoL, Khalid berkata, pelaksanaannya sudah mencapai lebih 80 peratus namun masyarakat diharap lebih prihatin dan memberikan kerjasama dengan menghentikan budaya menggunakan sungai dan perparitan sebagai tong sampah mereka.

Dalam pada itu, mengulas tindakan sita alat muzik sebuah kumpulan 'buskers' kurang upaya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu operasi penguatkuasaan sekitar Bukit Bintang di sini yang tular di media sosial baru-baru ini, Khalid berkata beliau akan bertemu kumpulan pemuzik berkenaan selepas Hari Raya Aidiladha ini bagi mencari jalan penyelesaian.

Khalid turut menggesa kumpulan berkenaan berpindah ke kawasan baharu sekiranya masih melanggar syarat ditetapkan DBKL selain menyifatkan tindakan itu perlu diambil bagi menjaga ketenteraman dan tidak menganggu orang ramai di kawasan pusat bandar.

-- BERNAMA