Terjebak dengan gejala sosial dan terpengaruh dengan rakan sebaya antara faktor utama menyebabkan golongan belia semakin ramai yang memenuhi Penjara Alor Setar ketika ini.

Pengarahnya Wan Sani Abdul Latiff berkata, golongan muda berusia 30-an paling ramai menjadi penghuni di penjara itu yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang terbabit dengan kesalahan jenayah, selain pendatang tanpa izin (PATI) yang ditempatkan buat sementara waktu.

Beliau mengakui, berlaku sedikit kesesakan di penjara itu dengan bilangan penghuni yang bertambah.

"Ada berlaku sedikit kesesakan. Kami terpaksa mengatur dengan sebaik mungkin supaya tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini, seperti penyakit dan sebagainya," katanya.

Bagaimanapun, kata Wan Sani, masalah kesesakan itu berjaya diatasi apabila pegawainya berjaya menyusun atur 1,500 penghuni yang menjalani hukuman penjara.

Beliau ditemui pada Hari Sambutan Penjara yang ke-228 di Penjara Alor Setar hari ini.

Menurutnya, penghuni penjara itu diasingkan mengikut kategori, seperti kes reman atau jatuh hukum, untuk lelaki dan wanita.

Pada majlis hari ini, Wan Sani turut menganugerahkan pingat cemerlang kepada 47 pegawai penjara manakala 22 pegawai lagi menerima sijil penghargaan.

Katanya, penganugerahan itu adalah sebagai mengiktiraf pegawainya di penjara itu yang menjalankan tugas dengan baik di bahagian vokasional, industri, keselamatan, keagamaan dan latihan.

Wan Sani berkata, setakat ini, terdapat seramai 328 orang pegawai di Penjara Alor Setar dan mereka semua melakukan tugas dengan baik.