Seorang pemilik syarikat pembinaan dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada seorang pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), tiga tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini Dazuki Ali juga memerintahkan tertuduh Tang Chee Koan@ Tang Chee Soon, 68, menjalani hukuman penjara selama enam bulan, jika gagal menjelaskan denda tersebut. Tertuduh membayar denda itu.

Tang didakwa memberi rasuah dalam bentuk 10 keping wang RM100 kepada pegawai KPDNKK Mohd Faruk Abdul Wahab sebagai dorongan untuk Mohd Faruk tidak mengambil tindakan ke atasnya yang didakwa menyimpan 3,000 liter minyak diesel tanpa kebenaran di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 7.30 malam 18 Sept 2015 di Hong Ming Engineering Work Container, Jalan Besar Ringlet di Cameron Highlands.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang bertubuh kecil didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukumannya dengan mengambil kira usianya yang sudah tua dan mempunyai masalah kesihatan selain menanggung seorang isteri dan empat anak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Mohamad Fadhly Mohd. Zamry dan Pegawai Pendakwa SPRM Kamariah Seman.

-- BERNAMA