Polis membongkar sebuah makmal dadah dan menahan empat lelaki termasuk seorang penjawat awam dalam tiga serbuan berasingan di Pulau Pinang, kelmarin.

Dalam serbuan itu pelbagai jenis dadah yang bernilai hampir RM500,000 berjaya dirampas.

Ketua Polis Pulau Pinang, A. Thaiveegan berkata serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan, sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berjaya menahan dua lelaki berusia 40 dan 54 tahun dalam serbuan di kondominium mewah, di Batu Uban , Gelugor pada jam 2.45 petang Rabu lepas.

Kesemua yang ditahan berusia antara 40 hingga 54 tahun dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah di negeri itu sejak enam bulan lepas.

Thaiveegan berkata, pihaknya percaya, kondominium berkenaan dijadikan tempat memproses dan menyimpan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

"Satu serbuan dibuat di kondominium di Jalan Batu Uban dan buat tangkapan ke atas dua lelaki berusia 54 tahun dan seorang lagi (40 tahun).

"Susulan tangkapan pertama, polis kemudiannya menyerbu pejabat salah seorang suspek yang juga penjawat awam berusia 51 ,di Butterworth sebelum membuat tangkapan suspek keempat di Sungai Ara," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Selain dadah, polis turut merampas tujuh buah kenderaan masing-masing lima buah kereta jenis Mercedes Benz c200, Honda City, Honda Civic, Perodua Bezza, Perodua Axia dan dua buah motosikal serta seutas jam tangan mewah.

Turut dibekukan tiga akaun bank dengan nilai keseluruhan yang disita kira-kira RM276,446.

Keempat-empat lelaki itu yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah kini direman sehingga 15 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.