Penjawat awam kalau beli rumah, terus miskin - Cuepacs

Penjawat awam kalau beli rumah, terus miskin - Cuepacs
Cuepacs tuntut kerajaan berikan sekurang-kurangnya kenaikan satu tangga gaji bagi membantu penjawat awam tanggung kos sara hidup.- foto Astro AWANI
KOTA BHARU: Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam, Cuepacs menggesa kerajaan segera menaikkan gaji penjawat awam dalam tempoh terdekat.

Presidennya, Datuk Azih Muda membuat gesaan itu memandangkan kenaikan kos sara hidup kini semakin mencabar terutamanya kepada mereka yang bekerja di ibu kota.

''Berdasarkan kajian Cuepacs, gaji penjawat awam kini sudah tidak mampu menampung kos sara hidup yang semakin mencabar.
''Tambah lagi dengan kos harga rumah dan rumah tidak boleh dianggap sampingan kerana semua orang mahukan rumah. Kalau mereka (penjawat awam) beli rumah terus jadi miskin,'' katanya.


BACA: Pinjaman perumahan: Gaji bersih kurang 40 peratus bukan masalah - Cuepacs

Bercakap dalam sidang media selepas Program Transformasi Perkhidmatan Awam: Isu dan Cabaran Penjawat awam di sini, hari ini, Azih berkata, kerajaan perlu menimbang permintaan kenaikan satu tangga gaji tahun ini.

Cuepacs pada masa sama mengharapkan kerajaan agar tidak memansuhkan skim pencen yang diterima oleh lebih 700,000 penerima pencen di seluruh negara.