Semua 5,000 penjawat awam lelaki di Kelantan diwajibkan memakai songkok ketika bertugas di pejabat pada setiap Khamis berkuat kuasa serta-merta .

Ketetapan itu adalah menerusi satu notis arahan pentadbiran Setiausaha Kerajaan Kelantan (bilangan 11 tahun 2019) yang dikeluarkan pada 19 Disember lalu yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Menurut Tengku Azmi, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kali ke-23 tahun 2019 di bawah Perkara-perkara Lain (11) yang bersidang pada 6 November 2019 bersetuju dengan keputusan supaya penjawat awam lelaki di negeri Kelantan memakai songkok ketika bekerja pada setiap hari Khamis.

Beliau berkata arahan itu melibatkan penjawat awam kerajaan negeri termasuk kakitangan pentadbiran di Kota Darul Naim dan pejabat kerajaan tempatan.

Langkah ini juga adalah bersesuaian dengan slogan kerajaan Kelantan iaitu "Membangun Bersama Islam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

-- BERNAMA