Kerajaan Negeri Melaka akan menstruktur semula kedudukan penjawat awamnya dalam usaha memastikan keberkesanan perkhidmatan kerajaan negeri serta agensi dibawahnya kepada rakyat, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata pada masa ini kerajaan negeri sedang menilai tahap kompetensi, kemampuan serta keupayaan penjawat awam negeri ini dan pertukaran juga latihan semula akan dibuat terhadap penjawat awam yang terlibat, namun jumlah terlibat masih belum dimuktamadkan.

"Persoalan pengurangan penjawat awam itu tidak timbul, ia lebih kepada isu penstrukturan semula (iaitu) isu kompetensi, kemampuan dan keupayaan mereka (penjawat awam negeri) diambil kira dalam penstrukturan semula tersebut.

"Pertukaran ada terlibat tetapi kita nilai secara jujur apa kita lakukan, mana-mana cemerlang akan dapat ganjaran, mana-mana yang lemah kita perbaiki mungkin (diberi) latihan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka di sini hari ini.

Dilaporkan sebelum ini Melaka mempunyai kira-kira 8,000 penjawat awam yang berkhidmat untuk Kerajaan Negeri Melaka dan agensi di bawahnya.

Adly berkata dalam menstruktur semula penjawat awam negeri ini, kebajikan mereka yang terlibat merupakan antara perkara utama yang akan diberi perhatian.

"Antara isu besar (di kalangan rakyat) peluang pekerjaan rakyat, mempunyai pendapatan ini adalah asas kita, jadi kita tak mahu sebagai sebuah kerajaan dalam kita membuat perubahan itu asas-asas ini kita abaikan," katanya.

Beliau berkata dalam mengurus sebuah kerajaan baharu penjawat awam adalah tulang belakang atau individu penting yang terlibat secara langsung dalam proses peralihan kuasa ini.

"Penjawat awam adalah kelompok penting kerana mereka yang merangka dan melaksana sesuatu polisi mahupun dasar dalam menentukan hala tuju dan masa hadapan sesebuah kerajaan mahupun masyarakat," katanya.

-- BERNAMA