Seorang kakitangan kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, ke atas 33 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi melantik syarikat miliknya sendiri untuk menjalankan kerja-kerja pembekalan di pejabat Cure & Care Rehabilitation Center (CCRC), Papar, melibatkan jumlah RM163, 437, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Syamsul Jikan, 41, disyaki melakukan kesemua kesalahan itu ketika bertugas menjadi penyelenggara stor di pusat pemulihan berkenaan di antara tempoh Januari 2015 hingga Oktober 2015.

Penjawat awam itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap 30 pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang dibacakan di hadapan Hakim Abdul Bakar Manat.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah terhadap tiga lagi tuduhan membabitkan pemalsuan dokumen antara bulan April 2015 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana dengan curangnya telah menggunakan satu dokumen palsu untuk tujuan kerja-kerja pembekalan di pejabat pusat pemulihan terbabit.

Sementara itu, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan bayaran deposit sebanyak RM25,000 dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 25 April depan sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Rozanna Abdul Hadi dan Rustam Sanip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.