Penjawat awam perlu mengetahui batas-batas perhubungan dalam komunikasi dan mematuhi etika penggunaan media sosial.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, golongan berkenaan juga diminta tidak membalas kritikan netizen dengan bahasa yang kurang sopan walaupun untuk mempertahankan diri.

"Oleh itu, semua warga KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan agensi perlu lebih peka dan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran, terutamanya dalam bidang teknologi maklumat (ICT), bagi meningkatkan kecekapan, sekali gus menjamin sistem penyampaian perkhidmatan kita yang lebih produktif, berkualiti dan cemerlang. Kita jangan jadi agen berita tidak benar.

"Dalam usaha kita memanfaatkan media sosial sebagai ejen penyampai maklumat dan promosi perkhidmatan kepada masyarakat, ada juga pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan maklumat atau melemparkan tuduhan dan kritikan terhadap kerajaan secara melulu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pads Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPWKM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.

Seramai 645 pegawai dan kakitangan KPWKM yang menunjukkan prestasi dan penglibatan cemerlang menerima anugerah masing-masing.

Dalam pada itu Dr Wan Azizah mahu penjawat awam tidak menggunakan perbezaan kelompok, kaum atau agama sebagai penghalang untuk berkhidmat kepada rakyat.

Jelasnya, penjawat awam juga diminta tidak mensabotaj kerajaan walaupun menyedari ada di antara mereka yang mewarisi sokongan kerajaan terdahulu.