Kerajaan Sarawak mengumumkan bantuan khas Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak kepada semua penjawat awam negeri itu.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Ketua Menteri Sarawak memberitahu, bantuan khas ini adalah sebanyak RM500 dan akan dibayar pada minggu terakhir bulan ini.

"Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberi bantuan khas kewangan tahun 2019 sebanyak RM500 kepada penjawat Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak termasuk kepada mereka yang masih berkhidmat sebelum atau pada 31 Mei 2019.

"Bantuan khas kewangan itu turut merangkumi badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan negeri," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, pembayaran bantuan kewangan tererbut akan dibayar pada 23 Mei ini.

Pada 2018, penjawat awam Sarawak turut menerima bantuan Aidilfitri dengan jumlah yang sama.