Sebagai meringankan beban penjawat awam dalam menyediakan persiapan persekolahan anak mereka, kerajaan akan melakukan bayaran khas sebanyak RM500 esok.

Bayaran khas tersebut akan memanfaatkan 1.4 juta penjawat awam Kerajaan Persekutuan, merangkumi pegawai lantikan tetap serta pegawai kontrak.

Menteri Kewangan, Lim Guang Eng berkata, kerajaan memutuskan untuk membayar sebelum hujung
tahun bagi membantu ibu bapa di kalangan penjawat awam dengan persiapan untuk persekolahan anak mereka menjelang tahun baharu.

"Pada masa yang sama, kerajaan juga akan membuat bayaran khas sebanyak RM250 kepada hampir 800,000 pesara bagi mengenangkan khidmat bakti mereka," kata Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2019 pada 2 November lepas, Guan Eng mengumumkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah dan sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sungguhpun bayaran khas tersebut yang akan menelan perbelanjaan sebanyak RM1 bilion tidak diperuntukkan lebih awal dalam Belanjawan 2018, namun kerajaan Pakatan Harapan masih boleh mencari wang menerusi penjimatan dengan menjalankan pentadbiran yang bersih serta Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).