Penjawat awam disaran meningkatkan kemahiran dan kecekapan bagi memastikan penyampaian terbaik diberikan kepada rakyat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman berkata setiap penyampaian perlu memenuhi kehendak rakyat sekaligus melahirkan modal insan berkualiti.

"Kita perlu terus melahirkan modal insan yang tebaik, berkualiti, berkebolehan tinggi, tangkas dan memenuhi ekspektasi pelanggan.

"Semua anggota perkhidmatan awam perlu bersiap siaga meningkatkan kepakaran dan kemahiran.

"Maka, bersesuaian nanti apabila kemuka untuk naik taraf skim atau naik taraf gaji, ia bertepatan dengan ilmu yang kita ada," tegasnya pada ucapan perasmian sambutan Hari Pekerja 2017 anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Tambahnya, penjawat awam juga perlu mengikis pemikiran kerja sempit terutama dalam melaksanakan tugas dengan sifat individualistik.

"Penjawat awam perlu mengikis pemikiran kerja yang sempit. Banyak kali di antara kita ini suka bekerja berasingan atau 'stylo'.

"Maka, tanamkan semangat jati diri dan muafakat di antara kita serta kembangkan semangat berpasukan, maka kita akan meningkatkan taraf perkhidmatan awam kita," katanya.

Hadir sama, Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda serta kepimpinan tertinggi kongres tersebut.

Pada majlis yang dihadiri lebih 500 ahli kongres tersebut, beberapa anugerah turut disampaikan kepada agensi, kesatuan sekerja, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan.