Seorang penjenayah mati ditembak manakala seorang lagi berjaya melarikan diri didalam belukar berhampiran stesen minyak di Templer's Park, di sini awal pagi Rabu.

Kejadian dipercayai berlaku kira kira jam 2.30 pagi Rabu, ketika sepasukan polis dari skuad taktikal khas anti-jenayah terancang (STAFOC) membuat rondaan dan terserempak sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

Sebaik menyedari kehadiran polis, kenderaan yang dinaiki dua lelaki memecut laju dan berbalas tembakan.

Suspek bagaimanapun terbabas memasuki longkang di lorong kecil kira-kira jaraknya 50 meter berhampiran stesen minyak.

Penjenayah yang duduk di bahagian penumpang cedera kena tembakan dan disahkan mati di tempat kejadian.

Manakala pemandu berjaya melarikan diri.

Pemeriksaan forensik menemui senjata yang digunakan dalam kejadian itu dan beberapa peralatan pecah rumah.

Polis masih meneliti kenderaan penjenayah berkenaan sama ada kenderaan curi atau sebaliknya.

Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Polis melancarkan gerakan Ops Tutup disetiap pintu masuk daerah bagi mengesan penjenayah yang masih bebas.