Tindakan agresif seorang penjenayah melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah polis akhirnya mengundang padah selepas suspek maut akibat terkena beberapa das tembakan dalam kejadian di Jalan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi, suspek lelaki berusia 20-an itu maut di lokasi selepas terkena sekurang-kurangnya 10 das tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain berkata, sebelum kejadian berbalas tembakan itu, sepasukan anggota polis yang menjalankan rondaan harian di kawasan berkenaan terserempak dengan suspek yang sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan berhampiran bangunan pusat beli-belah 1Borneo.

Beliau berkata, sebaik sahaja dihampiri, suspek bertindak memecut laju motosikal ditungganginya sebelum terbabas di kilometer tujuh daripada lokasi berkenaan dan bertindak melepaskan beberapa das tembakan kepada anggota polis yang cuba mengejarnya.

"Ketika pasukan kita berhenti, anggota telah mendengar tembakan daripada arah penjenayah dan pihak polis mengambil tempat berlindung sebelum melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

"Apabila tembakan telah berhenti dan pihak polis memastikan tiada lagi ancaman dari pihak suspek, kita telah memeriksa kawasan tembakan dan mendapati seorang lelaki terbaring dengan sepucuk pistol disisi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, hasil pemeriksaan polis percaya suspek terlibat dengan jenayah pecah rumah susulan penemuan satu beg sandang yang berisi beberapa peralatan seperti parang, besi pengumpil pintu, pemotong besi dan tukul besi di lokasi kejadian.

Jelasnya, siasatan awal turut mendapati pistol digunakan suspek adalah jenis Revolver .38 selain sedang mengenal pasti identiti suspek.

"Semakan pihak forensik menemui tiga peluru hidup pada poket kanan penjenayah dan motosikal yang digunakan merupakan motosikal curi," katanya.

Tambah Razarudin, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.