Individu yang didapati menjual arak yang mengandungi bahan terlarang di negeri ini, akan dikenakan tindakan undang-undang dan dipenjara mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Stephen Wong Tien Fatt berkata, tindakan lebih tegas itu akan diambil susulan kejadian keracunan alkohol di Selangor yang telah meragut 28 nyawa.

Menurutnya, pemeriksaan drastik sebagai langkah pencegahan akan dibuat ke atas pengimport, pemborong, pengeluar serta peruncit di seluruh Sabah dan jika didapati bersalah tindakan akan dikenakan serta-merta.

“Ini satu perkara yang serius jadi kita mahu mengambil langkah pencegahan dan berjaga-jaga berhubung perkara ini kerana ia boleh mengancam nyawa seseorang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Bilik Mesyuarat, Wisma Tun Fuad Stephen, pada Jumaat.

Tambah beliau, tindakan undang-undang juga akan dikenakan terhadap peniaga arak seludup di negeri ini berikutan ketika ini sekitar 60 peratus arak yang dijual dalam pasaran tempatan adalah arak seludup yang tidak dikenakan cukai.

Jelasnya, terdapat peniaga yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan lumayan melalui penjualan arak seludup dengan menetapkan harga serendah RM2.00 hingga RM3.00 setin menyebabkan kerajaan kehilangan hasil cukai sebanyak RM1.2 bilion setiap tahun di Sabah dan Sarawak.