Bangga dan berpuas hati apabila Kavadi atau kenderaan dewa rekaaanya menjadi pilihan penganut Hindu melakukan pemujaan pada perayaan Thaipusam tahun ini.

Pembuat kavadi M.Mohana Sundram 48 tahun berkata dia amat gembira apabila berjaya memecahkan rekodnya tersendiri dengan menghasilkan tiga belas buah kavadi yang akan digunakan penganut hindu di negeri itu Rabu depan.

Mohana yang juga seorang penjual suratkhabar di Georgetown berkata kebiasaannya dia hanya menghasilkan empat Kavadi setiap tahun namun sambutan tahun ini berbeza kerana dia berjaya " memecahkahkan rekod" dengan menghasilkan lebih banyak kavadi berbanding tahun sebelumnya.

" Tahun ini buat 13 kavadi pasal nak pecah rekod sebab tiada sesiapa buat 13, jadi saya ingat saya buat 13 kavadi".

Ujarnya,walaupun kerja-kerja membuat kavadi bukanlah satu tugas mudah, namun dek kerana minat dan rekaannya yang disifatkan unik mendorongnya melakukannya dengan bersungguh-sungguh

Rekaan kavadi Dewa Murugan menjadi pilihannya untuk tahun ini.

Antara bahan yang digunakan untuk membuat kavadi ialah papan lapis dan keluli tahan karat yang dijadikan sebagai tapak asas kavadi.

Selain itu dia juga menggunakan warna kuning, merah, hijau dan putih serta 11,230 bunga kertas sebagai hiasan.

Katanya, kerja-kerja membuat kavadi dilakukan bermula November tahun lepas dan 13 kavadi yang ditempah berjaya disiapkan pada waktu ditetapkan.

Selain penduduk tempatan, kavadi rekaannya turut menjadi pilihan penganut hindu dari Perak dan Kuala Lumpur .

Dalam pada itu, Mohana berkata pembuat kavadi, perlu berpuasa dan melakukan perbuatan baik kepada orang lain, serta mengelak daripada mengeluarkan perkataan yang buruk.

Jika peraturan itu gagal dipatuhi ia akan menjejaskan proses membuat kavadi.

Perayaan Thaipusam yang jatuh pada bulan penuh iaitu hari bertuah kesepuluh kalendar Tamil dalam bulan Thai.

Penganut Hindu percaya buruj Pusam iaitu bintang yang bersinar muncul di ufuk utara disambut oleh penganut Hindu di serata dunia.