Hasil syor jawatankuasa khas yang dibentuk untuk meneliti kes penjualan 64 lot tanah bernilai RM4.28 bilion yang dibuat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tanpa tender terbuka akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata antara syor yang dikemukakan adalah sebahagian daripada kontrak atau jualan dibatalkan dengan wang dikembalikan kepada syarikat terbabit.

"Sebahagian lagi diteruskan dengan penambahbaikan. Ada juga yang disyorkan untuk diteruskan sebagaimana dalam kontrak. Syor ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri untuk beliau membuat keputusan," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Khalid menegaskan kesemua syor oleh jawatankuasa berkenaan tidak bererti siasatan SPRM akan dihentikan terhadap mana-mana transaksi yang mempunyai unsur meragukan.

BACA: Tanah RUMAWIP dijual murah sebab.... - Datuk Bandar DBKL

Dalam pada itu, Khalid berkata kementeriannya bersedia melaksanakan penambahbaikan terhadap proses penjualan tanah DBKL.

"Ia bertujuan supaya proses penjualan tanah DBKL pada masa hadapan lebih telus dan sistematik serta bersesuaian dengan aspirasi pembangunan Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang ditangguhkan sejak sekian lama akan diwartakan pada tahun ini meskipun tempoh pelaksanaannya hanya berbaki dua tahun.

VIDEO: Tahukah anda mengapa DBKL belum lagi mewartakan pelan KL?

Katanya, pelan yang disediakan pada 2008 itu sepatutnya diwartakan pada April 2015 selepas melalui proses bantahan, pandangan awam serta pengumpulan data pembangunan, namun, malangnya ia tidak menjadi kenyataan.

"Kekurangan yang terdapat dalam Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 akan diperkemaskan apabila pelan ini dikaji semula secara menyeluruh sementara mahu mempersiapkan pelan struktur bagi Bandaraya Kuala Lumpur 2040," katanya. -- Bernama