Seorang penolong jurutera kanan Jabatan Kerja Raya akan direman di mahkamah Alor Setar esok selepas disyaki menyalahgunakan kuasa dan meminta rasuah daripada beberapa kontraktor di Sik, Kedah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM telah menahan suspek berusia 56 tahun itu di rumahnya dekat Alor Setar pada jam 11.30 pagi tadi.

Suspek disyaki meminta rasuah sebagai dorongan untuk memastikan kontraktor berjaya ditawarkan projek kerja penyelenggaraan dan naik taraf jalan di daerah Sik bernilai 3 juta ringgit.

Sumber Astro AWANI memberitahu, SPRM dalam proses mengumpul maklumat daripada kontraktor yang dipercayai telah dipaksa untuk memberi wang suapan kepada suspek sekiranya ingin mendapat tawaran kerja.

Difahamkan, suspek akan menghubungi dan meminta rasuah daripada kontraktor yang ditawarkan projek menerusi aplikasi Whatsapp atau khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menetapkan jumlah, lokasi dan waktu untuk menyerahkan wang rasuah setelah syarikat mereka dilantik menerusi permohonan sebut harga.

Bagi 2016 sahaja, suspek dipercayai telah menganugerahkan 28 projek kepada tujuh orang kontraktor yang mempunyai kepentingan dengannya bernilai kira-kira RM650,000.

Pengarah Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata pihaknya akan menyiasat sama ada individu lain juga terlibat.