Seorang penolong jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan seorang kontraktor ditahan reman pada Rabu, dipercayai terlibat dengan tuntutan palsu bernilai RM720,000, tahun lalu.

Perintah tahanan reman selama enam hari sehingga Isnin depan ke atas lelaki berusia 58 dan 57 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Fauzi di Mahkamah Majistret Ipoh.

Mereka ditahan antara 7.20 dan 8.20 malam Selasa di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, dua lagi pegawai JPS yang turut ditahan bersama-sama mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Mereka dipercayai terlibat dengan tuntutan yang mengandungi butiran palsu pada tahun 2018 bagi kerja-kerja baik pulih sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Perak Tengah berkaitan empat sebut harga yang berjumlah hampir RM720,00.

Namun tiada sebarang kerja kerja fizikal membaik pulih telah dibuat di tebing sungai di tapak itu sehingga ke hari ini tetapi bayaran penuh kerja telah dilunaskan dan diterima oleh pihak kontraktor.

Mereka disyaki telah berpakat dengan kontraktor untuk membuat tuntutan palsu.