Seorang penolong pengurus sebuah syarikat direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu lebih RM250,000.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Wan Aziantie Ab Karim@Isa pada Rabu.

Suspek yang berusia 27 tahun itu dipercayai mengemukakan tuntutan palsu kira-kira RM261,000 bagi kerja-kerja membekal, memasang, menyusun dan menguji peralatan pancaragam di sebuah sekolah.

Namun kerja-kerja pembekalan dibuat tidak mengikut spesifikasi.

Perbuatan itu dilakukan pada tahun 2017 di salah sebuah sekolah di Kuala Terengganu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu suspek ditahan di pejabat SPRM Terengganu pada jam 4.30 petang Selasa.