Penstrukturan semula industri air di Selangor tidak akan menjejaskan kedudukan kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana perkara tersebut telah dipersetujui dalam perjanjian yang dimeterai.

Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan berkata, nasib lebih 3,000 kakitangan syarikat tersebut akan terjamin biarpun selepas proses pengambilalihan oleh kerajaan negeri Selangor.

"Saya difahamkan syarikat induk Syabas (Puncak Niaga Holdings Berhad) bahawa dalam perjanjian yang ditandatangani dengan Air Selangor (Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd) terdapat beberapa peruntukan untuk menjaga kepentingan kakitangan.

"Berdasarkan perjanjian itu, tidak akan ada sebarang perubahan, penarikan atau pertukaran terhadap terma dan syarat yang dipersetujui dan tidak wajar sekiranya perkara sedemikian berlaku," jelasnya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis sambutan Hari Kebangsaan 2015 di perkarangan ibu pejabat syarikat itu.

Beliau pada sama yakin dengan pengambilalihan itu dapat meningkatkan keupayaan syarikat serta memberi lebih manfaat kepada kakitangan berdasarkan kestabilan kewangan syarikat di bawah kerajaan negeri itu.


"Sekarang ini Syabas mengalami beberapa kekangan seperti isu tarif yang tidak mendapat kelulusan dan kesukaran mendapatkan pembiayaan daripada bank.

"Saya harap dan saya yakin dengan pengurusan baru yang keadaan kewangannya lebih kuat, kebajikan kakitangan Syabas akan terjamin malah lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

Berhubung status terkini perbincangan antara kedua-dua belah pihak, Ruslan memaklumkan segalanya berjalan dengan baik dan optimis perjanjian jual beli akan termaktub seperti yang dirancang iaitu pada 13 September ini.

Dalam pada itu bagi mengulas tentang kebimbangan terhadap bekalan air untuk Lembah Klang yang semakin berkurangan, beliau berkata masalah tersebut akan selesai apabila Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) siap kelak.

Bagaimanapun beliau berharap rakyat dapat bersabar sementara menunggu loji tersebut sedia untuk beroperasi.

"Perkara ini bukan sesuatu yang boleh ditangani dengan segera. Pada asasnya memang kita harapkan LRAL2 akan siap pada 2017 dan mengikut perancangan awal serta perkiraan yang dibuat, tidak akan ada krisis besar walaupun tidak dinafikan akan ada sedikit kekurangan bekalan air.

"Namun akibat kelewatan menamatkan perjanjian berkaitan loji tersebut, paling cepat kita jangkakan loji Langat 2 akan siap pada 2019," maklum Ruslan.

Rizab margin bekalan air ketika ini berapa pada tahap membimbangkan iaitu sekitar dua peratus, jauh lebih rendah berbanding rizab margin bekalan air selesa yang disarankan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) iaitu pada 10 hingga 15 peratus.

Keadaan itu menyebabkan 593 projek pembangunan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak dapat diluluskan SPAN ekoran bekalan air yang tidak mencukupi.

Bagaimanapun dimaklumkan bahawa kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah, antaranya rancangan menyalurkan lebihan air Sungai Selangor Fasa 1 ke kawasan-kawasan selatan dan pelepasan air daripada Pahang.

"Walaupun LRAL2 masih belum siap, tetapi ada usaha untuk melepaskan air lebih awal sebagai persediaan untuk memastikan impaknya tidak begitu besar kepada pengguna.

"Saya berharap setiap pihak yang berkenaan dapat bersama memainkan peranan sebaiknya agar segalanya dapat diselesaikan mengikut perancangan," ujarnya.