Penstrukturan semula Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjamin usaha merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia menjelang 2020.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, penstrukturan itu sekali gus usaha menyediakan perkhidmatan lebih efisyen dan efektif kepada semua pihak.

"Kita membuat penstrukturan yang mengambil kira semua pihak yang berkepentingan selain mengambil kira keperluan dan kehendak masa hadapan.

"Kali terakhir penstrukturan semula DBKL adalah pada 1 Julai 2011 telah menghasilkan struktur yang fokus kepada skop dan penetapan sektor mengikut fungsi bagi menghadapi cabaran terutamanya sari aspek perkhidmatan perbandaran dalam memenuhi ekspektasi masyarakat dan saingan di peringkat global," katanya.

Tengku Adnan berkata demikian semasa sidang media semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfirti DBKL di sini hari ini.

Jelas Tengku Adnan, transformasi DBKL kali ini menyaksikan perubahan struktur yang lebih dinamik melibatkan penjenamaan semula jawatan Ketua Pengarah.

"Ada perubahan dengan menaik taraf jawatan Timbalan Ketua Pengarah kepada empat orang Pengarah Eksekutif Gred Utama A dan B.

"Jawatan itu adalah Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi, Perancangan, Pengurusan serta Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan," jelasnya.

TONTON: Penstrukturan semula beberapa jabatan DBKL

Dalam pada itu jelasnya, penjenamaan juga melibatkan Perbadanan Kampung Baru (PKB) untuk memastikan pembangunan seiring dengan pembangunan bandar raya Kuala Lumpur sendiri.

"Kita juga melantik Pengerusi PKB yang baharu, Datuk Afandi Zahari dan Ketua Pengarah PKB, Datuk Mahadi Che Ngah.

"Selain PKB, ia turut melibatkan penjenamaan semula Jabatan dengan kenaikan gred beberapa Pengarah di dalam Jabatan DBKL sendiri," ujarnya.

TONTON: Datuk Bandar baharu ikrar mantapkan DBKL

Sebelum ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz bertekad untuk menyusun semula beberapa jabatan di dalam DBKL kerana ada tugas-tugas yang bertindih sesama jabatan.