Takut ditahan polis kerana dikatakan terbabit dengan kes pengubahan wang haram wang berjumlah RM2.3 juta, seorang pensyarah di sini menanggung kerugian RM116,349 selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Kejadian bermula Rabu lalu apabila mangsa lelaki berusia 57 tahun itu menerima panggilan kononnya daripada pihak Telekom Malaysia Centre di Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek memaklumkan terdapat individu tidak bertanggungjawab menggunakan nombor telefon mangsa bagi tujuan judi dalam talian.

"Panggilan itu kemudian kononnya disambungkan kepada pihak polis sebelum mangsa bercakap dengan Inspektor Razak dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, suspek kononnya membuat semakan sebelum memaklumkan kepada mangsa bahawa terdapat satu akaun bank didaftarkan atasnya.

"Suspek mendakwa akaun itu digunakan untuk tujuan judi dalam talian dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 juta," katanya.

Katanya lagi, mangsa diarahkan untuk membuat bayaran bagi mengelakkan dirinya ditahan oleh pihak polis.

"Pada hari yang sama mangsa membuat 14 kali pindahan wang ke dalam dua akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM116,349," katanya.

Katanya, kemudian suspek menyuruh mangsa menunggu tindakan seterusnya oleh pihak polis tetapi sampai semalam mangsa tidak dihubungi oleh lelaki berkenaan.

"Mangsa yang berasa ditipu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.