Seorang pensyarah wanita sebuah universiti awam di sini mengalami kerugian RM260,000 dalam satu penipuan komunikasi atau 'Macau Scam' bulan lepas.

Ketua Polis Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata wanita berumur 48 tahun itu menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada nombor 68886 mengatakan kad kredit CIMB mangsa telah digunakan di Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru pada pagi 21 Mei sedangkan mangsa tidak pernah menggunakan kad kredit pada hari itu.

"Mangsa telah menghubungi talian 1-800-81-7399 seperti yang terdapat dalam SMS berkenaan dan seorang staf (suspek) yang menjawab memperkenalkan diri sebagai Pegawai Bank CIMB dan menyatakan kepada mangsa bahawa suspek akan menyekat akaun bank mangsa (susulan penggunaan kad kredit mangsa oleh orang lain).

"Suspek kemudiannya memberikan nombor telefon (03-92121402) kepada mangsa untuk bercakap dengan Pegawai Penyiasat Bank Negara Malaysia (BNM).

"Seterusnya mangsa menghubungi Pegawai Penyiasat BNM berkenaan yang telah mengarahkan mangsa pergi ke Maybank Alam Mesra, Kota Kinabalu untuk proses membekukan akaun milik mangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Chandra, suspek yang menyamar sebagai pegawai penyiasat BNM itu telah mengarahkan mangsa membuat pemindahan wang ke empat jenis akaun suspek yang berbeza dengan melibatkan sembilan transaksi dalam tempoh lapan hari berturut-turut bermula 21 hingga 28 Mei berjumlah RM260,000 bagi memperdayakan mangsa untuk proses membekukan akaun mangsa.

Bagaimanapun, mangsa telah menyedari berlaku penipuan setelah suspek tidak dapat dihubungi, katanya.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

"Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan sindiket 'Macau Scam' agar tidak terpedaya dengan tipu helah sindiket ini," katanya.

Chandra turut meminta orang ramai supaya membuat laporan polis sekiranya menerima panggilan daripada sindiket tersebut dan juga boleh memanjangkan sebarang maklumat berkaitan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, yang beroperasi selama 24 jam, dengan mengubungi talian 088-221191 dan 318843.

-- BERNAMA