Kesibukan mengajar dan melakukan kerja pentadbiran tidak menghalang tujuh pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas perubatan dalam mengendalikan pesakit COVID-19.

Kumpulan yang diketuai Dr Rose Dahlina Rusli itu mula menghasilkan PPE sejak Isnin lepas dan sehingga Rabu, sebanyak 500 helai pakaian berkenaan diagihkan kepada beberapa hospital sekitar Lembah Klang.

Menurutnya yang juga pensyarah kanan fakulti berkenaan, idea menghasilkan PPE untuk petugas perubatan timbul selepas melihat video tular di laman sosial memaparkan ramai jururawat terpaksa menjahit sendiri PPE untuk kegunaan mereka.

Meskipun terikat dengan jadual kuliah dalam talian, beliau dan rakan-rakannya tetap berusaha membahagikan masa malah sanggup mengerah keringat memotong serta mengukur material khas untuk menghasilkan PPE di bengkel jahitan fakulti berkenaan setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 3 petang.

"Di sini kita hanya memotong material untuk menghasilkan PPE kerana peralatan yang ada di sini boleh memotong bahan dalam kuantiti yang banyak dalam satu-satu masa.

"Material yang sudah dipotong mengikut ukuran, kita akan agihkannya kepada 51 tukang jahit sukarelawan terdiri daripada alumni UiTM, pemilik butik dan tukang jahit persendirian di sekitar kawasan ini untuk dijahit.

"Apabila siap, kita kumpulkan dan agihkan kepada Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan sebuah hospital swasta di sini yang memerlukan PPE melalui syarikat penghantaran," katanya kepada Bernama di sini.

Rose Dahlina berkata material yang digunakan untuk menghasilkan PPE berkenaan adalah hasil sumbangan daripada orang ramai, badan bukan kerajaan dan Alumni UiTM sendiri.

Menurut beliau, selain hospital di Lembah Klang, pihaknya juga menerima permintaan PPE untuk hospital di Perak dan Kedah, justeru pihaknya meminta kerjasama kampus cawangan UiTM Sri Iskandar, Perak untuk turut serta dalam kerja kebajikan berkenaan.

"Dengan kerjasama kampus cawangan yang turut mempunyai kemudahan sama seperti di sini, PPE yang telah siap akan lebih cepat diagihkan kepada hospital di negeri terlibat berbanding jika ia dihasilkan di Shah Alam," katanya.- BERNAMA