Jalan Menjawah-Belaga, projek di bawah program Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

"Perundingan sedang dijalankan dengan JKR Persekutuan supaya Jalan Menjawah-Belaga diserahkan kepada JKR Sarawak. Maka selepas ini semua pertambahan atau naiktaraf jalan tersebut akan dilakukan menggunakan peruntukan MARIS (Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melawat Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Kampung Sebuan Besar Hilir, Jepak.

Fadillah berkata apabila diserahkan kepada JKR Sarawak nanti, jalan Menjawah-Belaga yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga akan dinaiktaraf kepada jalan R1 mengikut piawaian JKR.

"Peruntukan sudah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja jalan tersebut," kata beliau.

Mengulas mengenai beberapa kejadian tanah runtuh di jalan Menjawah-Belaga itu, Fadillah berkata jalan itu mempunyai cerun yang berisiko mengalami tanah runtuh dan diburukkan lagi apabila kenderaan berat melalui jalan tersebut.

"Jalan ini pada asalnya hanya untuk dilalui oleh kenderaan ringan namun apabila lori-lori besar mula melaluinya, maka kekuatan jalan ini tidak cukup untuk menampung berat dan menyebabkan kerosakan.

"Pihak ATM telah pun menghantar jentera untuk melakukan kerja-kerja pembaikan di semua cerun yang terjejas," katanya.

Mengenai pembangkang menggunakan isu seperti infrastruktur jalan raya di Sarawak dalam kempen pilihan raya negeri, beliau berkata perkara tersebut sudah dijangka.

"Biasalah mereka (pembangkang) apa sahaja tidak betul dan diputar belit. Tetapi apa yang penting komitmen kita di peringkat persekutuan dan negeri, akan cuba memberi yang terbaik kepada rakyat.