Lebih 60,000 penternak lembu di Kelantan akan diajar menyuntik vaksin sendiri ke atas ternakan mereka bagi mencegah penyakit kuku dan mulut yang sering menyerang haiwan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia bagi memastikan lebih 112,000 lembu di negeri ini selamat daripada penyakit yang mudah merebak itu.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan akan membuka peluang kepada penternak untuk belajar kaedah suntikan tersebut untuk mengelak mereka kerugian jika penyakit itu berlaku.

Che Abdullah berkata, bekalan daging lembu sempena Hari Raya Aidiladha yang akan datang dijangka mencukupi memandangkan terdapat 22 pembekal sedia ada dari luar dan dalam Kelantan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Program Sidang Penternak di Pusat Perkhidmatan Veterinar Kecil di Felda Chiku 3, di sini pada petang Ahad.