Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang diamalkan negara demokratik matang, tidak mendapat sambutan oleh pengamal media tempatan.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri itu tetap komited bahawa kerajaan akan memberikan ruang kepada media untuk menjalankan tugas tanpa sekatan selagi penggiat media bersikap bertangungjawab terhadap laporan mereka.

"Kalau ada kesan buruk hasil daripada sesuatu laporan, tentu kita tidak boleh biarkan. Tetapi selagi mereka berupaya untuk menyuarakan pandangan mereka, saya percaya mereka harus diberi kebebasan," jelasnya kepada Astro AWANI dalam satu temubual semalam.

Sebelum ini, ia dilaporkan MMM bagi menyediakan platform untuk pengamal media menjalankan kawalan kendiri dalam mematuhi amalan terbaik dalam media.



Antara kuasa Kementerian Dalam Negeri dalam industri media di Malaysia membabitkan pemberian permit penerbitan di mana kementerian itu berkuasa untuk tidak memperbaharui permit atau menggantung permit berkenaan.

Pada Julai 2015, Kementerian bertindak menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan susulan laporannya mengenai isu 1Malaysia Development Berhad.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa keputusan penggantungan itu adalah tidak betul.