Sebarang penugasan pegawai dan anggota polis di pusat-pusat hiburan di ibu negara perlu mendapatkan kebenaran secara bertulis, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Katanya penugasan rasmi seperti intipan atau risikan perlu mendapat kebenaran daripada beliau sendiri atau Ketua Jabatan Siasatan Jenayah terlebih dahulu bagi mengelak salah faham.

Beliau berkata ini kerana ada sesetengah masyarakat memandang serong dan beranggapan kehadiran polis di pusat hiburan hanya untuk berhibur semata-mata, sebaliknya mereka sebenarnya sedang berusaha mengumpul kumpul maklumat.

"Kita (polis) perlu kumpul maklumat (di kelab malam dan pusat hiburan), oleh itu kita perlu masuk ke tempat itu. Kita (polis) tidak mahu masyarakat keliru atau salah faham dengan kehadiran anggota di tempat-tempat itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Bukit Jalil, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas arahan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang melarang pegawai dan anggota mengunjungi pusat-pusat hiburan, judi dan maksiat bagi mengelak amalan sebarang rasuah.

Mazlan berkata tindakan tatatertib akan dikenakan kepada pegawai dan anggota yang mengunjungi pusat-pusat hiburan bagi tujuan berhibur semata-mata.

"Arahan telah lama dikeluarkan kepada pegawai dan anggota untuk tidak mengunjungi pusat hiburan untuk berhibur. Sekiranya ada anggota yang pergi ke pusat hiburan dan positif dadah, tindakan akan dikenakan terhadap mereka mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) sedia ada," katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan Abdul Hamid sebagai berkata selain rasuah berbentuk wang tunai, segelintir polis di negara ini didapati leka dengan sogokan daripada tauke-tauke judi dan pusat hiburan.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Roslan Bek dan Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon.

-- BERNAMA