Tutup

Penularan kes demam campak: Tiga daerah Sabah diberi vaksin percuma

Penularan kes demam campak: Tiga daerah Sabah diberi vaksin percuma
Kerajaan telah menerima kelulusan pengecualian fi bagi tiga buah daerah di Sabah untuk menjalankan aktiviti imunisasi tambahan secara berperingkat, kata Dzulkefly Ahmad. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima kelulusan pengecualian fi bagi tiga buah daerah di Sabah untuk menjalankan aktiviti imunisasi tambahan (SIA) secara berperingkat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tiga daerah itu melibatkan Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna selepas statistik menunjukkan berlakunya penularan kes demam campak di beberapa kawasan di daerah tersebut. 
Menurut beliau, KKM sedang bekerjasama dengan kerajaan Filipina untuk memberikan imunisasi kepada kanak-kanak warga negara itu yang berada di Alternative Learning Center di Sabah.

Kos vaksin dan operasi berkenaan juga, jelas Dr Dzulkefly, akan ditanggung oleh kerajaan Filipina.
“Bagi negeri Sabah, satu perjanjian persefahaman (MoU) telah ditandatangani di antara Menteri Kesihatan Malaysia dan Menteri Kesihatan Filipina pada 30 Julai 2019.

“Bagi tujuan ini juga, KKM turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti MERCY Malaysia untuk menjayakan kerjasama tersebut.

“KKM juga sedang berunding untuk membuat perolehan vaksin dari pihak United Nations Childrens Fund  (UNICEF) bagi program pemberian imunisasi kepada kanak-kanak tiada dokumen dan stateless di Sabah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang bertanyakan sama ada kerajaan sudah melaksanakan proses memberi vaksin kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen-dokumen.

Menjawab soalan tersebut, Dr Dzulkefly berkata, bagi mereka yang bertaraf bukan warganegara atau tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, perkhidmatan imunisasi adalah tertakluk kepada fi yang ditetapkan iaitu RM40 untuk Fi pendaftaran (termasuk perundingan dan ubat) dan RM40 untuk setiap suntikan imunisasi yang diberikan.

Malah, suntikan imunisasi yang diberikan juga adalah sama seperti suntikan yang diberikan kepada warganegara Malaysia.

Sepanjang tahun lalu, Sabah merekodkan 73 kes demam campak dengan satu kematian, iaitu hanya 15 peratus daripada mereka disuntik dengan kes paling banyak dilaporkan ialah di Kudat iaitu 30, diikuti Semporna (21) manakala Kota Kinabalu dan Tawau, masing-masing empat kes.

Di Filipina, sehingga awal Februari lalu, penularan wabak demam campak makin meningkat apabila lebih 4,000 kes dan 70 kematian dilaporkan.


Tag: demam campak, Kementerian Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, imunisasi, aktiviti imunisasi tambahan, Alternative Learning Center, Sabah



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.