ADAKAH anda berminat untuk memulakan perniagaan anda sendiri?

Jika ya, anda harus pertimbangkan untuk menulis rancangan perniagaan anda. Penyediaan rancangan perniagaan ini selalunya amat menakutkan kebanyakan pemilik perniagaan; ia boleh menjadi satu proses yang sangat sukar, penuh rasa tertekan dan memakan masa yang agak panjang. Atas sebab inilah, anda mungkin akan berfikir untuk mendapatkan bantuan.

Salah satu daripada banyak cara yang anda boleh dapatkan bantuan untuk menulis rancangan perniagaan anda adalah dengan mengambil seorang yang profesional, yang dalam situasi ini adalah seorang penulis rancangan perniagaan profesional.

Siapakah Sebenarnya Penulis Rancangan Perniagaan Profesional?

Sebelum memutuskan sama ada anda perlu mengupah perkhidmatan seorang penulis rancangan perniagaan profesional, anda harus terlebih dahulu fahami dengan jelas siapa mereka sebenarnya.

Dalam kebanyakan situasi, anda akan dapati individu-individu ini sangat berpengalaman dalam istilah perniagaan yang betul dan dapat memahami keperluan kebanyakan perniagaan dengan berkesan.

Adalah penting untuk anda fahami apabila menulis apa-apa, termasuklah rancangan perniagaan, kata-kata yang anda gunakan boleh memberi erti yang berbeza dan boleh menjadi percaturan antara kejayaan dan kegagalan rancangan perniagaan mahupun perniagaan tersebut.

Itulah sebabnya sejumlah besar pemilik perniagaan kecil suka beralih kepada bantuan penulis profesional untuk menyiapkan rancangan perniagaan mereka.


Apa Penulis Rancangan Perniagaan Profesional Boleh Lakukan Untuk Anda?

Apabila anda ingin cari penulis rancangan perniagaan profesional, anda akan dapati bahawa penulis yang berbeza melaksanakan tugas yang berbeza. Sebagai contoh, sebilangan besar penulis hanya akan mendengar idea anda yang telah anda fikirkan dan berkembang, dan seterusnya membentangkannya dengan cara yang mungkin lebih profesional daripada yang anda boleh lakukan.

Selain itu, ada penulis rancangan perniagaan profesional yang akan bekerjasama dengan anda untuk membangunkan pelan anda dari permulaan idea-idea asas untuk perniagaan anda sehinggalah proses menyiapkan semua dokumen selesai.

Secara semula jadinya, memandangkan lebih banyak kerja dan masa untuk membantu anda dengan membangunkan rancangan perniagaan dari tahap idea asas, anda mungkin akan mendapati bahawa perkhidmatan penulis ini selalunya lebih mahal daripada yang biasa anda temui.

Oleh itu, amatlah penting sebelum anda memulakan pencarian anda, pastikan dalam fikiran anda sudah jelas tentang tahap sokongan dan input yang anda perlukan dalam menyiapkan rancangan perniagaan anda.


Mengapa Mengupah Penulis Rancangan Perniagaan Profesional?

Terdapat beberapa sebab yang berbeza mengapa pemilik perniagaan kecil beralih kepada penulis rancangan perniagaan profesional. Salah satu sebab utama adalah kurangnya pengalaman ketika memperhalusi idea-idea perniagaan anda di atas kertas dan tidak mengetahui format apa yang perlu digunakan untuk menulis rancangan perniagaan.

Jika anda tidak pernah membuat sebarang rancangan perniagaan sebelum ini, anda mungkin akan dapati diri anda menatap sekeping kertas kosong terebut selama berjam-jam lamanya!

Walaupun sebenarnya agak mudah untuk belajar bagaimana membuat rancangan anda sendiri, ia kadangkala boleh menjadi proses yang memakan masa untuk menjalankan penyelidikan tentang perniagaan anda dan set kan minda anda dalam suasana minda yang sesuai dengan rancangan perniagaan anda.

Dengan pengalaman yang betul, seorang penulis rancangan perniagaan profesional akan dapat membuat rencana untuk rancangan perniagaan terperinci dan profesional yang hanya memakan masa sekurang-kurangnya separuh sahaja masa yang akan anda perlukan untuk membuat rancangan perniagaan sendiri.


Di Mana Dan Bagaimana Anda Boleh Cari Penulis Rancangan Perniagaan Profesional Ini?

Sekiranya anda berminat mendapatkan perkhidmatan penulis rancangan perniagaan profesional, anda mempunyai beberapa pilihan yang berbeza. Salah satu pilihan ialah mencari seseorang di dalam negara dan berdekatan dengan lokasi anda ataupun lokasi perniagaan anda.

Berurusan dengan penulis rancangan perniagaan tempatan adalah idea yang sangat bagus, terutamanya jika anda ingin berurusan dengan seseorang secara bersemuka. Anda boleh cari bantuan dan informasi terkini berkaitan perkhidmatan ini di mana-mana pusat nasihat perniagaan dari mana-mana agensi kerajaan atau swasta di seluruh negara.

Bahkan anda juga boleh pandangan atau rujukan daripada rakan-rakan jaringan perniagaan anda. Jika terdapat kumpulan penulis rancangan perniagaan profesional ini di media social atau mana-mana jaringan kumpulan mereka di tempat anda sendiri, maka anda boleh cuba dekati mereka untuk mendapatkan rujukan nama yang berpotensi dan bersesuaian.

Satu-satunya masalah yang mungkin anda akan hadapi ialah bukan semua kawasan berdekatan lokasi perniagaan anda akan mempunyai penulis rancangan perniagaan profesional. Ini bermakna anda mungkin perlu beralih ke untuk mencari mereka di Internet untuk mendapatkan bantuan.

Dengan menjalankan carian atas talian anda akan boleh temui sebilangan besar penulis profesional yang pakar dalam membuat atau menulis rancangan perniagaan terutama bagi jenis perniagaan yang baru dan agak kompleks.

Apa Yang Harus Anda Perincikan Sebelum Anda Upah Mereka?

Apabila memilih seorang penulis rancangan perniagaan profesional, adalah penting untuk anda tidak terburu-buru memilih hanya orang pertama yang anda jumpai, ataupun yang paling murah sahaja. Pastinya rancangan perniagaan yang ditulis dengan baik adalah penting untuk kejayaan rancangan anda.

Oleh itu anda harus berhati-hati dalam pemilihan anda. Rancangan perniagaan anda bukan sahaja boleh digunakan untuk bimbingan peribadi permulaan atau perkembangan perniagaan anda, tetapi ia juga boleh gunakan untuk menarik pelabur ataupun pemberi dana pembiayaan untuk perniagaan. Jadi pastikan rancangan perniagaan anda harus kelihatan profesional, terperinci dan boleh difahami dengan mudah.

Sebelum mengupah seorang penulis rancangan perniagaan, anda harus minta contoh hasil kerja sebelumnya dan juga minta mereka kongsikan testimoni dari pemilik perniagaan yang telah berjaya dengan menggunakan perkhidmatan mereka.

Ini akan membantu anda untuk pastikan anda mendapat pulangan nilai wang yang berbaloi dan mendapat hasil rancangan perniagaan yang boleh dibanggakan dan dapat menarik perhatian bakal pelabur dan pemberi dana perniagaan. Selain itu pastikan juga rancangan perniagaan anda itu dapat menjadi tanda aras yang jelas untuk anda mulakan perniagaan anda ataupun memperkembangkan perniagaan anda ke arah yang lebih baik.

Seperti mana-mana kontrak perkhidmatan yang anda biasa terima, pastikan anda jelas dengan apa yang anda akan dapat sebagai pulangan untuk pelaburan wang anda mengupah mereka. Adakah kontrak perkhidmatan tersebut termasuk peruntukan untuk kemas kini rancangan perniagaan itu secara percuma atau semakan tanpa had sebelum versi akhir dipersetujui? Adakah anda akan dikenakan caj setiap perkataan, setiap halaman, atau setiap jam? Pastikan anda fahami sepenuhnya kontrak perkhidmatan tersebut.

Dengan memahami langkah-langkah ini, anda sepatutnya dapat membuat keputusan yang lebih baik dan jelas sama ada penulis rancangan perniagaan profesional ini boleh membantu anda dalam memulakan ataupun memperkembangkan perniagaan anda. Walaupun perkhidmatan ini boleh jadi kos tambahan kepada anda, dalam jangka masa panjang, ia boleh menjadi pelaburan terbaik yang pernah anda lakukan.

Namun yang paling penting adalah untuk pastikan anda boleh teruskan semua rancangan tindakan dalam rancangan perniagaan anda yang telah ditulis tersebut. Sesungguhnya rancangan perniagaan ini bukanlah hanya satu dokumen untuk mendapatkan dana perniagaan namun yang lebih penting adalah menjadi tanda aras untuk anda teruskan perniagaan dengan sebaiknya.

Jadi, sudahkan anda siapkan rancangan perniagaan anda untuk 2019?


* Abd Azharee Abdul Wahid merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di Akademi Usahawan Mikro (AUM) iaitu sebuah pusat pendidikan latihan dan kemahiran keusahawanan. Antara usaha AUM adalah kesedaran Perusahaan Mikro dan IKS untuk ditransformasikan dari perniagaan konvensional ke arah perniagaan digital.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili spandangan sidang pengarang Astro AWANI.