Para penumpang Batik Air bertujuan ke Medan, Indonesia hanya mampu menggeleng kepala apabila pesawat yang ingin dinaiki mereka mengalami kelewatan hampir empat jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Kejadian pada pagi Ahad itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penumpang, difahamkan kerana pihak pengurusan syarikat penerbangan tersebut tidak memberitahu apa-apa maklumat sepanjang kelewatan tersebut.

Seorang penumpang dari Selangor bernama Cairel ketika ditemui berkata, layanan yang diberikan Malindo sangat buruk terhadap para penumpang.

"Dimana letaknya hospitaliti mereka? Kita tidak diberitahu apa-apa pun pasal kelewatan ini. Kalau sejam tak apa lagi, ini hampir empat jam kami tunggu," katanya.

Bukan hanya itu, para penumpang juga terpaksa berpindah kaunter berulang kali ketika proses mendaftar masuk.

"Ia hanya dirasakan seperti pengaturan yang tidak baik. Saya rasa proses daftar masuk langsung tidak lancar. Kami berada di seluruh tempat. Tiada siapa yang tahu di mana kita harus pergi atau apa yang kita harus lakukan. Kami dalam satu barisan dan kami pergi ke satu tempat dan kemudian mereka membuka barisan yang lain di belakang kami pula," kata Richards, seorang warganegara United Kingdom.

Pesawat Boeing 737-300ER dgn nombor penerbangan ID6019 itu dijadualkan berlepas pada pukul 6.40 pagi waktu tempatan tetapi mengalami kelewatan sehingga pukul 10.00 pagi.

Kelewatan tersebut turut dialami oleh wartawan yang menaiki penerbangan sama.

Sejurus selepas kejadian, pihak pengurusan Batik Air menerusi anak kapalnya memohon maaf sambil menyatakan faktor operasi menjadi punca kelewatan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy berkata pihaknya akan menyiasat kejadian berkenaan.

Sebelum ini, terdapat laporan bahawa Malindo Air akan dinamakan semula sebagai Batik Air pada separuh kedua tahun ini untuk menyelaraskan dirinya dengan syarikat penerbangan Indonesia yang menggunakan nama itu.