Seorang penumpang Australia yang menaiki AirAsia X pesawat D7237, yang terpaksa berpatah balik ke Perth akibat masalah teknikal, mempertahankan juruterbang dan anak kapal daripada pengkritik.

Madeline Wright, 15 tahun, berkata mereka harus dipuji dan tidak dipersalahkan mengenai insiden tersebut.

Wright yang merupakan salah seorang penumpang dalam penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur itu, menerusi status akaun Facebooknya berkata, juruterbang dan kru telah melakukan yang terbaik untuk memastikan kesemua 359 penumpang selamat dan tenang semasa kejadian.

“Ia menjijikkan saya bahawa ada yang mengkritik kapten kami yang meminta kami berdoa dan cuba menyebabkan beliau dipecat,” katanya.

“Konteks penuh beliau adalah, 'Keadaan di kokpit semuanya terkawal. Jika anda ingin membacakan doa, ia juga mungkin membantu'.

Wright perpandangan, ia juga boleh dikatakan salah satu cara untuk menenangkan penumpang.

“Beliau profesional. Beliau adalah seorang manusia. Beliau adalah suara yang menenangkan kami semasa kejadian tersebut dan suara yang memberikan harapan.

"Sebab beliau lah saya masih hidup dan saya sangat bersyukur,"” katanya lagi.

Wright yang sedang menuju ke Vietnam dalam percutian bersama keluarganya, menegaskan bahawa orang ramai tidak patut menyalahkan tambang murah AirAsia kerana masalah teknikal sentiasa berlaku tidak kira murah atau mahal.

“Masalah teknikal seperti ini boleh berlaku di mana-mana sahaja dan penerbangan kos rendah tidak patut dipersalahkan.

“Pesawat tersebut telah diperiksa dengan teliti seperti semua pesawat lain sebelum berlepas dan dikawal oleh organisasi keselamatan," katanya.

Selepas kapal terbang berjaya mendarat di Lapangan Terbang Perth, Wright berkata para penumpang begitu sabar untuk menunggu selama tiga jam.

Syarikat penerbangan tersebut juga telah melakukan yang terbaik untuk memastikan penumpang-penumpangnya berada dalam keadaan yang selesa dengan memberikan baucar makanan dan minuman.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun membidas ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang mengkritik juruterbang AirAsia X kerana meminta penumpang berdoa ketika memutuskan untuk berpatah balik ke Perth.

BACA: 'Apa salahnya berdoa? Saya juga akan lakukan perkara sama' - Kamarudin Meranun

Status Wright yang menjadi tular, telah mencecah 42,000 “like” dan 14,216 “share” di laman Facebook.


Susulan kejadian tersebut, AirAsia X mengatakan bahawa mereka sedang menjalankan siasatan terhadap insiden melibatkan pesawat D7237 itu.

"Kami sedang menjalankan siasatan ke atas punca kejadian, bersama-sama dengan Rolls Royce, yang merupakan pengilang enjin kami.

BACA: AirAsia siasat punca insiden D7 237

VIDEO: AirAsia siasat kejadian kerosakan teknikal pesawat