LABUAN:Kesemua 99 penumpang penerbangan MH2608 Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Labuan pada 8.35 pagi, 11 Okt lepas diminta menjalani ujian saringan COVID-19 selepas salah seorang penumpang pesawat itu didapati positif ujian virus tersebut, baru-baru ini.

Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Labuan hari ini mengeluarkan jadual untuk para penumpang tersebut menjalani ujian di Klinik Kesihatan Membedai di sini, yang boleh dilakukan dari 11 pagi hingga 2 petang setiap hari, bermula hari ini.

Para penumpang yang ingin menjadualkan semula masa menjalani ujian tersebut boleh menghubungi CPRC Labuan di talian 087-596160, 087-422505 atau 087-442506.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata sebanyak 12,462 sampel ujian telah diambil dari penduduk Sabah yang kembali ke negeri itu sejak 26 Sept lepas.

Sehingga Isnin lepas sebanyak 9,680 keputusan ujian telah dikeluarkan, sementara ujian yang lain masih belum selesai.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

BACA: COVID-19: Penumpang AirAsia KL-Labuan diminta buat saringan

Labuan telah merekodkan 86 kes COVID-19, dengan lapan kes baru direkodkan setakat Rabu.

Daerah itu juga kini mempunyai dua kluster aktif iaitu kluster Bah Bangat dan Bah Bundle dengan masing-masing merekodkan 10 dan enam kes.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, restoran makanan Jepun Sakura Sushi di bandar tersebut ditutup buat sementara waktu berikutan terdapat pelanggan yang menjamu selera di restoran itu (dari 4 hingga 10 Okt) didapati positif COVID-19 dan semua kakitangannya dikehendaki menjalani ujian saringan serta kuarantin kendiri.

-- BERNAMA